Thursday, August 27, 2009

Serangga,Biodiversiti dan Pelancongan

Serangga merupakan salah satu daripada kejadian yang mempunyai peranan yang penting di dalam dunia. Ia memberi kesan kepada kehidupan terutamanya manusia dan juga alam sekitar melalui pelbagai cara. Tidak dinafikan bahawa pada waktu ini masyakat malaysia melihat serangga hanya sebagai perosak kepada tanaman. Namun begitu tidak ramai yang mengetahui dan mengambil sikap ambil tahu fungsi serangga dalam menjamin kestabilan Kepelbagaian Biologi ataupun biodiversiti di dalam negara. Kepelbagaian biologi didefinisikan sebagai kepelbagaian organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun lautan dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya. Sebagai contoh, serangga berperanan di dalam menjamin bekalan makanan dunia dengan menjadi agen pendebungaan kepada pokok. Direkodkan bahawa 60 hingga 80 peratus bunga di dunia bergantung kepada agen pendebunga yang mana di dominasikan oleh spesis serangga. Selain itu ia jua bertindak sebagai pemangsa kepada spesis perosak. Oleh itu amatlah tidak tepat jika dikatakan bahawa serangga adalah spesis perosak.
Dalam menjaga kelestarian biologi, serangga memainkan peranan yang sungguh besar. Setiap serangga mempunyai peranan yang berlainan dalam mengimbangi kepelbagaian biologi. Kumpulan lebah contohnya berperanan dalam penyebaran biji benih dengan membantu proses pendebungaan. Kumpulan semut dan anai-anai pula membantu dalam proses pereputan dengan menjadi agen pereputan semulajadi. Dasar Kepelbagaian Biologi Negara, yang menyediakan rangka kerja penyatuan dan penyelarasan program dan projek kepelbagaian biologi dalam negera, telah dilancarkan pada April 1998. Selaras dengan Dasar berkenaan, keupayaan beberapa agensi pemuliharaan telah diperkukuhkan dan pelan pengurusan dirangka bagi beberapa kawasan perlindungan. Ini termasuklah penyediaan pelan induk untuk mengukuhkan sistem kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia, projek untuk meningkatkan keupayaan Jabatan Hidupan Liar di Sabah, memperbaiki pengurusan kawasan dilindungi sepenuhnya di Sarawak serta kerjasama antara universiti di Malaysia dan Denmark dalam pendidikan pemuliharaan dan latihan.
Namun begitu peranan serangga dalam menjana ekonomi negara melalui pelancongan tidak di lihat sebagai satu sumber yang kukuh. Walaupun ia masih lagi baharu di Malaysia, tetapi jika ia dipraktikkan ia akan membawa kepada hasil yang bermanfaat dari segi ekonomi mahupun biodiversiti. Malaysia mempunyai kepelbagaian biologi yang sangat tinggi berbanding negara-negara lain. Oleh yang demikian sumber ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Melihat konteks perhutanan malaysia pada waktu ini, pembalakan merupakan perkara pertama. Jika di buat perkiraan sampai bila hutan di Malaysia boleh mengeluarkan hasil hutan yang berkekalan. Mengapa hasil hutan bukan kayu tidak di lihat sebagai salah satu punca penjanaan ekonomi di Malaysia.
Situasi ini tidak akan berlaku jika semua masyarakat dapat memikirkan lebih daripada apa yang dilihat. Hutan merupakan khazanah yang amat bernilai, maka ia tidak perlu disia-siakan begitu sahaja. Benar dikatakan bahawa jika sesuatu hutan itu tidak di balak ia akan menyebabkan biodiversiti di kawasan itu berkurangan. Sebagai contoh di Thailand yang mana mengharamkan pembalakan. Kajian yang dijalankan di sana menunjukkan bahawa kepelbagaian biologinya berkurangan. Ini kerana anak-anak pokok tidak dapat bersaing dengan pokok-pokok besar, begitu juga hidupan liar yang mana bergantung kepada pucuk-pucuk pokok menunjukkan penurunan. Namun ia bukanlah satu sebab untuk membalak.
Pelancongan serangga (Entotourism), merupakan satu bentuk ekonomi yang boleh berkembang pada masa hadapan. Kejayaan ini telah kita semua ketahui di Kuala Selangor yang mana telah menjalankan aktiviti entotourism dengan menjadikan kelip-kelip sebagai modal. Aktiviti ini telah berkembang dengan pesat dan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Selain di Kg Kuantan di kuala selangor, kawasan yang berpotensi untuk entotorism adalah di Kg Dew Taiping. Tetapi apa yang mengecewakan adalah penduduk tempatan tidak mengambil ia sebagai satu bentuk peluang perniagaan yang boleh menguntungkan. Dengan bermodalkan sebuah bot dan sedikit air liur maka entotourism ini dapat dijalankan. Selain daripada menjana keuntungan secara tidak langsung ia dapat memberi kesedaran kepada penduduk setempat khasnya dan amnya mengenai kepentingan kepelbagaian biologi melalui entotourism ini. Jika di kaji di kawasan ini kelip-kelip hanya berada pada pokok berembang sahaja, dari segi kerlipannya ia akan membentuk satu seni yang mana hanya dapat di lihat oleh mata kasar sahaja.
Dapat disimpulkan di sini bahawa serangga memainkan peranan yang penting di dalam Biodiversiti dan juga dapat menjana pendapatan negara melalui pelancongan.

No comments:

Post a Comment